Salam sejahtera buat semua,
Entri sempena hari Jumaat. Fitnah dan mengapa perlu kita elakkan diri dari menjadi mangsa fitnah. Di dalam ajaran Islam, Allah ada berpesan mengenai bahaya menfitnah dan juga kepada yang mendengar sesuatu berita yang berunsur fitnah. Dalam Surah Al-Hujurat ayat 6, Allah SWT telah berfirman: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.”
Di dalam Sirah Nabi Muhamad SAW juga, terdapat satu kisah berkenaan fitnah yang boleh kita jadikan panduan. Kisah isteri Rasulullah SAW iaitu Saidatina Aisyah ra yang telah difitnah oleh orang-orang munafik. Saidatina Aisyah telah difitnah bersama Safwan bin Mu’attal ketika pulang daripada medan perang. AI rasa semua orang tahu mengenai cerita ni. Saidatina Aisyah difitnah kerana berjalan bersama-sama Safwan ketika ditinggalkan kumpulan besar rombongan secara tidak sengaja. Walaupun Safwan tidak langsung bercakap dengan Aisyah yang berada di atas untanya, situasi tersebut sudah cukup memberi peluang kepada golongan munafik untuk menabur fitnah ke atas Rasulullah SAW dan keluarganya. Tujuannya adalah untuk melemahkan kepercayaan orang Islam terhadap kepimpinan Rasulullah SAW.
Berbalik kepada kisah Aisyah tadi, pengajaran yang dapat kita ambil untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita ialah sebagai seorang Muslim ialah kita perlu menjaga tingkah laku kita terutama melibatkan hubungan antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Dalam dunia moden ni, kita tak dapat lari daripada berhubung antara dua jantina yang berbeza atas urusan kerja dan sebagainya. Perkara ni kadang-kadang nampak remeh tetapi sangat sensitif sebab ianya melibatkan maruah kita. Contohnya, bila seorang perempuan [isteri orang] naik kereta dengan seorang lelaki [rakan sepejabat] untuk ke satu tempat atas urusan kerja. Kalau sekali dua mungkin orang tak kata apa-apa, tetapi apabila terlalu kerap ianya boleh menyebabkan timbulnya fitnah yang tak sedap di dengar. Walaupun pada hakikat sebenarnya tidak ada apa-apa yang berlaku di antara mereka. Hanya urusan kerja. Sebab apa diaorang kena fitnah??? Sebab selalu berdua naik kereta yang sama.
Kenapa AI keluarkan topik ni. Sebab kita mudah lupa. Manusia kadang-kadang lupa perbuatan dia tu boleh menjadi fitnah mulut-mulut jahat manusia lain. Kisah Aisyah dan Safwan yang berlaku beratus tahun dulu tu bukan la satu kisah sejarah sahaja tetapi pengajaran dan peringatan buat umat Muhammad zaman sekarang. Kalau isteri nabi pun boleh kena fitnah, apatah lagi kita insan biasa ni. Jadi sebagai orang Islam, kita kena jaga adab dan tingkah laku kita supaya tidak ada ruang untuk orang menfitnah kita khususnya dalam bab hubungan antara seorang lelaki dan seorang perempuan [terutama bagi yang sudah berumahtangga]. Jangan sampai disebabkan fitnah yang ntah hapa-hapa, kebahagiaan rumah tangga kita goyang. Kita marah orang memfitnah kita tapi hakikatnya kitalah yang memberi peluang untuk fitnah tersebut. Wallahualam.
Gambar hiasan
0 comments:
Post a Comment