Sambutan ANZAC Day diadakan pada 25 April setiap tahun. ANZAC adalah singkatan kepada Australian and New Zealand Army Corps. Sambutan hari ANZAC disambut dengan penuh meriah di seluruh Australia. Tujuannya adalah bagi memperingati perjuangan anggota tentera gabungan Aust dan NZ ketika Peperangan Dunia Pertama khususnya pertempuran di Gallipoli, Turki.
Sedikit sejarah pertempuran di Gallipoli. Pada tahun 1915, tentera gabungan Aust dan NZ telah dikerahkan ke Gallipoli di bawah arahan British untuk menawan Turki yang menyokong Jerman. 25 Apr ialah tarikh pendaratan besar-besaran tentera ANZAC di Gallipoli dan menerima tentangan hebat daripada tentera Turki di bawah pemerintahan Mustafa Kamal Attarturk. Dalam pertempuran tersebut, lebih 10,000 tentera ANZAC terkorban atau cedera. Angka tersebut menjadi catatan sejarah bagi negara Australia sebagai angka korban paling besar. Oleh itu, 25 Apr dipilih bagi memperingati semangat juang anggota tentera meraka.
Pada aku, ANZAC Day ni lebih kurang macam sambutan hari kebangsaan la untuk negara kita. Sebab Australia tak sambut hari kebangsaan, ANZAC Day ni jadi satu acara besar dengan perarakan oleh pasukan-pasukan tentera di bandar-bandar di seluruh negara. Sekarang, ANZAC Day bukan saja di sambut untuk mengenang kembali pertempuran di Gallipoli tetapi dah jadi acara menghargai pengorbaan semua anggota tentera dari zaman Perang Dunia Pertama hinggalah ke Perang Dunia Kedua dan yang terkini di Afghanistan. Apa yang aku baca, kerajaan Australia telah membelanjakan hampir 3 juta AUD pada pada tahun 2013 untuk acara ANZAC Day. Tujuannya hanyalah untuk memperingati perjuangan anggota tentera dan juga di menyemai semangat patriotisma di kalangan orang muda terutama kanak-kanak. Aku tengok sendiri pada sambutan tahun 2013. Ramai keluarga bawak anak masing-masing berkumpul di tepi-tepi jalan untk sama-sama meraikan ANZAC Day. Ada di kalangan mereka memakai lencana dan pingat atuk atau moyang mereka yang telah terkorban. Dalam satu temubual dengan pengacara tv, seorang budak tu memakai pingat atuknya yang terkorban di Sandakan semasa Perang Dunia Kedua. Mungkin ramai yang tak tahu penglibatan tentera Australia di Malaya ketika Perang Dunia Kedua dan semasa insurgensi melawan Komunis. Ramai anggota tentera Australia yang terkorban ketika bertempur semasa Perang Dunia Kedua di Malaya. Ada juga yang dijadikan tawanan perang dan kemudiannya mati ketika Sandakan Death Marches.
Sebagai rakyat Malaysia, aku tak sambut la ANZAC Day ni. Aku tengok dari jauh je. Saja nak tahu apa yang diaorang buat. Sesetengah penduduk Islam di Australia (khususnya yang berketurunan Islam Turki) menentang sambutan ANZAC Day kerana pertempuran tersebut berlaku di Turki dan tentera Turki juga mengalami angka korban yang tinggi. Tetapi sedikit sebanyak bila mengenang penglibatan tentera Australia di Malaysia, rasanya ada sedikit kaitan aku dengan ANZAC Day ni. Walaupun kebanyakkan tentera mat salleh lari dan berundur semasa serangan tentera Jepun, tetapi ada juga yang kekal di Tanah Melayu dan memulakan peperangan gerila dari dalam hutan. Tak banyak catatan sejarah perang yang boleh diperolehi di Malaysia. Sampaikan kadang-kadang aku tertanya-tanya juga, apa yang berlaku kepada anggota Kompeni C, Rejimen Askar Melayu di bawah pimpinan Lt Adnan selepas pertempuran di Bukit Chandu? Semua orang tahu Lt Adnan mengarahkan anggotanya berundur bersama-sama dengan Lt Abas tetapi apa yang berlaku selepas tu. Apa jadi pada Lt Abas? Mungkin ada catatan sejarah mengenai perkara ni di mana-mana, cuma aku je yang tak tahu.
Secara keseluruhannya, aku seronok tengok cara rakyat Australia menyemai semangat cintakan negara dan semangat patriotisma terutama kepada kanak-kanak dan generasi muda. Teringat satu masa dulu hampir setiap tahun aku tak pernah missed untuk bersama-sama dengan ribuan rakyat Malaysia berkumpul di Dataran Merdeka bagi memeriahkan acara sambutan hari kebangsaan. Walaupun ada yang berpendapat acara tersebut satu pembaziran, pendapat peribadi aku sebagai rakyat biasa...kadang-kadang kita perlu melihat ke belakang, melihat sejarah dan asal usul kita untuk kita belajar sesuatu dan maju ke hadapan.