Wednesday, September 15, 2010

Hari Malaysia


16 September telah pun diisytiharkan sebagai Hari Malaysia. Banyak sebab kenapa tarikh ini dipilih. Antaranya ialah tarikh tersebut iaitu pada 16 September 1963 adalah tarikh Malaysia ditubuhkan (dahulu dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu) dan juga kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura (menarik diri pada tahun 1965) menjadi sebuah negara bernama Malaysia. Penggabungan tersebut menyebabkan penduduk Malaysia menjadi penduduk berbilang bangsa iaitu Melayu, Cina, India serta penduduk Sabah dan Sarawak. Jadi, sempena Hari Malaysia ni aku nak cerita sikit pasal keunikan yang ada antara kita berbilang kaum. Paling mendapat perhatian (selain macam2 jenis makanan) pastinya pakaian serta tarian setiap kaum. Di sini aku senaraikan serba sedikit pakaian tradisional dan tarian kaum2 yang ada di Malaysia. Kalau ada yang tersilap fakta tu...harap dimaafkan ye.


PAKAIAN


Melayu
Baju kurung adalah sejenis baju longgar yang labuh, kadang kala hingga ke lutut dan dipadankan dengan kain panjang yang berlipat tepi. Baju kurung juga boleh digandingkan dengan kain tradisional seperti songket atau batik. Lazimnya pakaian ini digunakan dengan kain selendang atau tudung kepala. Pakaian tradisional bagi kaum lelaki pula dinamakan baju Melayu. Baju Melayu merupakan kemeja longgar yang dipakai dengan seluar panjang. Pakaian ini selalunya diganding dengan kain samping yang diikat di bahagian pinggang. Walau bagaimanapun, setiap negeri mempunyai keunikan dan perbezaan dalam pakaiannya.


Cina

Busana klasik Cina yang asalnya berlapis-lapis, sarat dengan sulaman benang emas dan sutera, kini masih boleh dilihat dengan diubahsuai mengikut peredaran masa dan kesesuaian. Jubah Labuh, Cheongsam, Baju Shanghai dan Samfoo kekal dipakai di dalam majlis dan upacara. Lazimnya, cheongsam mempunyai leher yang tinggi, butang di bahagian bahu, bentuk yang sendat di pinggang dan belahan di kiri dan kanan kain. Kebanyakannya masih dihasilkan dari negeri China menggunakan fabrik sutera dan broked yang berwarna terang dengan ragamhias benang emas dan perak.


India

Pakaian kaum India lebih dikenali dengan warna-warna terang dan kaya dengan tenunan dan sulaman benang emas, perak, labuci juga batu-batu permata. Di hari perkahwinan lelaki India memakai dhoti dilengkapi dengan turban manakala wanitanya memakai sari yang digandingkan dengan choli ketat. Wanita remaja mengenakan skirt labuh 'Ihenga' juga dipadankan dengan baju pendek atau choli. Lelaki Punjabi menggayakan dhoti atau kurta dan wanitanya mengenakan salwar-khameez-dupatta iaitu seluar dengan baju labuh yang diperindah dengan sulaman benang emas dan labuci.


Sarawak

Keindahan pakaian kaum etnik dari Sarawak “Bumi Kenyalang” ini terserlah dengan ragamhias yang mempamerkan kemahiran tangan yang menghasilkannya. Ragamhias pada pakaian membentuk motif-motif etnik samada dari tenunan, jalian manik dan labuci. Perhiasan diri dari perak dan manik yang sarat melambangkan status dan kekayaan bagi pemakainya.

Baju Melayu Cekak Musang merupakan pakaian tradisional bagi lelaki Melayu. baju ini dipadankan dengan samping songket tenunan Sarawak. Wanita Melayu pula memakai Baju Kurung dan kain sarung songket serta tudung kerengkam. Lelaki Melanau pula memakai baju satin hitam yang digandingkan dengan samping broked dan hiasan kepala kopiah Jawa. Wanitanya memakai Bajau Baban lengan lebar berwarna hitam dan kain songket Sarawak serta hiasan diri dari emas dan perak juga.


Sabah

Busana tradisional “negeri di bawah bayu” ini menggambarkan kekayaan hasil tangan seperti tenunan bersulam ‘linangkit’ dan kreativiti manik dan labuci serta pelbagai hiasan seperti hiasan kepala ‘sarempak’, hiasan leher ‘mandapun’, penutup kuku ‘keku’, tali pinggang berserta pending ‘ingkot pangkat’ juga selendang. Bagaimanapun, suku kaum berbeza yang tinggal di kawasan yang berdekatan lazimnya memakai pakaian tradisional yang serupa. Antara perhiasan yang paling menarik termasuklah topi anyaman wanita Kadazan-Dusun, dastar kaum Bajau, dan tengkolok suku kaum Lotud yang menandakan jumlah isteri lelaki yang memakainya. Kemahiran menghias pakaian dan cara berpakaian yang kemas dan cantik menjadikan koleksi pakaian negeri Sabah hebat, unik dan amat menarik perhatian.


Baba Nyonya

Pendatang Cina yang berkahwin dengan penduduk Melayu selalunya memakai pakaian kebaya yang anggun. Baju buatan tangan ini memerlukan kepakaran bagi menyulam corak-corak yang kelihatan seakan-akan renda yang halus. Hiasan utama baju kebaya adalah sulaman tebuk lubang di mana garisan corak motif bunga di jahit manakala bahagian tengah dasar kain yang tidak terjahit pula ditebuk. Ini menghasilkan hiasan yang seakan-akan renda yang halus, yang dikenakan pada bahagian leher, lengan, hujung blaus serta dua bucu segitiga di bahagian depan baju yang dikenali sebagai lapik.


TARIAN


Zapin
Pengaruh Islam ke atas tarian tradisional Malaysia boleh dilihat dengan ketara dalam tarian Zapin, sebuah tarian yang terkenal di negeri Johor. Tarian ini, yang diperkenalkan oleh para mubaligh dari Timur Tengah, pada mulanya digunakan dalam amalan berzikir yang bertujuan menyebarkan pengetahuan mengenai sejarah tamadun Islam.


Tarian Dabus

Tarian ini berasal dari negeri Perak dan dipercayai mula dimainkan di negeri Perak sejak 300 tahun yang lalu. Ada beberapa pendapat yang mempertikaikan kemasukkan senitari dabus ke bumi Perak. Satu pendapat mengatakan dabus dipercayai dibawa masuk terus ke Perak oleh Ahmad Mahyuddin yang berasal dari Parsi (Baghdad) sekitar tahun 1785. Pendapat kedua mengatakan permainan dabus telah di bawa ke Indonesia melalui Pasai di Aceh sebelum dikembangkan ke Pasir Panjang, Perak oleh Nakhoda Lembang yang berguru daripada saudagar Fakir Muhammad dari India. Satu lagi pendapat mengatakan Ahmad Mahyuddin telah bertemu dengan Nakhoda Lembang pada tahun 1785 dan telah bersama-sama memperkembangkan kesenia dabus ke Perak di Pasir Panjang seawal tahun 1700.Tarian ini mula berkembang di Pasir Panjang Laut, Sitiawan, Lumut, dan juga di Sungai Nipah Baroh serta Sungai Balai Baroh, Teluk Intan, Perak.


Mak Yong Melayu

Tarian Mak Yong yang berasal dari Patani di selatan Thailand dicipta untuk hiburan kerabat DiRaja wanita, permaisuri serta puteri sewaktu ketiadaan kerabat diRaja lelaki. Tarian ini menggabungkan drama romantis, serta tarian dan nyanyian tradisional dengan gaya yang menawan, yang mengisahkan zaman kegemilangan kesultanan Melayu.


Kuda Kepang

Tarian Kuda Kepang dibawa ke Negeri Johor oleh pendatang dari Jawa. Para penari menggunakan kuda kepang untuk menggambarkan kisah kejayaan perjuangan suci Islam, diiringi paluan gendang, gong dan angklung.


Joget
Tarian yang paling terkenal di Malaysia ini adalah sebuah tarian yang meriah, dengan rentak yang agak laju. Tarian ini, yang dipersembahkan oleh pasangan penari dengan gerak-geri pantas yang disulami pelbagai usikan, berasal dari tarian tradisi Portugis yang diperkenalkan di Melaka sewaktu era perdagangan rempah di situ.


Tarian Lilin

Sebuah tarian yang dipersembahkan oleh penari wanita sambil menatang lilin di dalam piring kecil di atas telapak tangan mereka, dan memaparkan gerak-geri yang penuh dengan kelembutan.


Tarian Singa

Tarian Singa (bahasa Cina: pinyin: wǔshī) adalah sebahagian daripada tarian tradisional dalam adat warisan masyarakat Cina, yang mana penari akan meniru pergerakan singa dengan menggunakan kostum singa. Tarian ini, yang lazimnya dipersembahkan ketika perayaan hari Tahun Baru Cina, adalah merupakan persembahan yang penuh bertenaga dan menghiburkan. Menurut lagenda, singa adalah satu-satunya haiwan yang boleh menghalang Nian – sejenis haiwan dongeng yang selalu menyerang negara China dan mengorbankan manusia pada hari sebelum Tahun Baru Cina. Tarian singa ini akan diiringi oleh gong, dram, dan dentuman mercun yang dikatakan akan membawa tuah.


Tarian Naga

Naga adalah sejenis haiwan dongeng yang melambangkan kuasa luarbiasa, kebaikan, kesuburan, kewaspadaan serta kehormatan dalam budaya Cina. Tarian Naga lazimnya dipersembahkan ketika sambutan Tahun Baru Cina, dan dipercayai membawa tuah dan kekayaan bagi tahun yang baru. Tarian ini selalunya memerlukan seramai 60 orang bagi mempertunjukkan persembahan yang penuh kepakaran, keanggunan serta penataan gerak tarian yang tepat.


India Bharata Natyam

Tarian klasik India ini bagaikan sebuah puisi dalam gerak tari. Tarian yang dramatik dan bersemangat ini berdasarkan kisah epik India purba, dan memaparkan lebih dari 100 gerak tarian dan gaya badan. Memandangkan tarian ini memakan masa yang lama untuk dikuasai, terdapat sesetengah penari kanak-kanak yang mula berlatih pada umur semuda lima tahun.


Bhangra
Banghra memaparkan tarian serta muzik masyarakat Sikh. Pada mulanya Banghra adalah sebuah tarian menyambut musim menuai, tetapi kini ianya memainkan peranan dalam pelbagai sambutan kemasyarakatan termasuk majlis perkahwinan dan sambutan Tahun Baru. Tarian ini lazimnya adalah berdasarkan tema-tema romantis, di mana nyanyian serta tarian yang diiringi paluan dholo, iaitu sejenis gendang bermuka dua, menjadikan tarian Banghra sangat menghiburkan.


Sumazau
Sumazau adalah sebuah tarian kaum Kadazan yang lazimnya dipersembahkan sewaktu acara-acara keagamaan dan kemasyarakatan. Ia dipersembahkan sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian padi yang banyak, untuk menghindar roh jahat, dan untuk mengubati penyakit. Penari lelaki dan perempuan mempersembahkan tarian yang mengasyikkan ini dengan gerak-geri yang perlalan serta pergerakan yang menngambarkan burung yang sedang terbang.


Ngajat
Ngajat adalah sejenis tarian pahlawan tradisional suku kaum Iban di Sarawak. Tarian ini lazimnya dipersembahkan ketika perayaan Gawai Kenyalang. Pada masa dahulu, pemburu kepala dari suku kaum ini, yang dikatakan antara yang paling bengis di Sarawak, diraikan dengan perayaan Gawai Kenyalang. Pahlawan lelaki mempertunjukkan pergerakan yang tangkas di sepanjang persembahan tarian ini, sambil memakai topi tradisional yang panjang dan memegang sebuah perisai panjang yang berukir.


Datun Julud

Tarian Kenyalang adalah sebuah tarian tradisional suku kaum Kenyah di Sarawak. Tarian ini dicipta oleh seorang putera Kenyah bernama Nyik Selong bagi menggambarkan kegembiraan serta kesyukuran. Pada masa dahulu tarian ini dipersembahkan sewaktu perayaan kemasyarakatan bagi menyambut kepulangan para pahlawan dari berburu, atau sewaktu perayaan tahunan yang menandakan tamatnya musim menuai. Tarian ini diiringi bunyi alat muzik sape dan dipersembahkan oleh seorang penari wanita, menggunakan kipas tangan anggun yang diperbuat daripada bulu burung kenyalang yang melambangkan sayap burung suci tersebut.


Tarian Buluh

Tarian Buluh, satu lagi tarian tradisional yang popular serta menghiburkan, menggunakan sepasang buluh panjang yang dipegang mendatar pada paras buku lali. Kedua-dua buluh tersebut diketuk antara satu sama lain dengan rentak yang pantas. Penari perlu tangkas bergerak sambil melompat di antara kedua-dua batang buluh tersebut tanpa tersepit.


Orang Asli

Tarian Orang Asli Semenanjung Malaysia mempunyai kaitan rapat dengan kepercayaan kerohanian mereka. Tarian ini lazimnya digunakan oleh pawang dalam upacara menghubungi dunia roh. Tarian tersebut termasuklah tarian Genggulang kaum Mah Meri, tarian Berjerom kaum Jah-Hut, serta Sewang oleh kaum Semai dan Temiar.


Farapeira
Farapeira adalah sebuah tarian masyarakat Portugis yang pantas dan seringkali diiringi alat muzik seperti gitar dan tamborin. Tarian ini persembahkan oleh pasangan penari yang memakai pakaian tradisional Portugis.


Branyo
Tarian Branyo, yang lebih perlahan dan bersopan daripada tarian Farapeira, lebih diminati warga Portugis yang sudah berumur. Penari lelaki yang berpakaian ala koboi dan penari perempuan yang berpakaian baju kebaya tradisional dengan sarong batik, menari dengan perlahan mengikut rentak gendang serta biola.



Memang Malaysia penuh warna-warni dan ceria. Sama-samalah kita berdoa agar negara kita terus maju dalam keadaan aman dan damai. Amin.

Sumber:

http://kebudayaan.kpkk.gov.my

http://www.tourism.gov.my

http://www.arkib.gov.my

http://ms.wikipedia.org/wiki


0 comments:

Post a Comment